Morfologi dan fisiologi Buaya

Pasangan rangka dan taksidermi buaya NilBuaya seperti spectacled caiman ini boleh menyorok dalam air dengan hanya timbul liang hidung, mata dan telinga.

Saiz rumpun buaya adalah dari sekecil spesies Paleosuchus dan Osteolaemus yang mencapai 1–1.5 m (3 ka 3 in–4 ka 11 in) hingga sebesar buaya katak yang mencapai 7 m (23 ka) dan berat sebanyak 2,000 kg (4,400 lb), namun sesetengah spesies prasejarah seperti Deinosuchus dari akhir Usia Kapur jauh lebih besar pada panjang 11 m (36 ka)[5] dan berat 3,450 kg (7,610 lb). Buaya jantan selalunya jauh lebih besar daripada betina.[6] Biarpun pelbagai bentuk muncung dan giginya, semua spesies buaya sama sahaja morfologi badannya. Buaya mempunyai badan seakan biawak yang tegap dan sasa dengan muncung yang rata dan ekor yang termampat sisi. Kakinya semua pendek; kaki depan ada lima jari dengan sedikit selaput, sementara kaki depan ada empat jari berselaput dengan jari kelima rudimen.[7] Rangkanya cukup tipikal bagi haiwan berkaki empat tetapi tengkorak, pelvis (tulang punggung) dan tulang rusuknya terbina khusus; terutama sekali, proses-proses rawan dalam tulang rusuk membolehkan toraks untuk kendur sewaktu menyelam sementara struktur pelvis dapat menampung jumlah ambilan makanan yang besar, ataupun lebih banyak udara dalam paru-paru. Jantan dan betina pun ada kloaka, iaitu kebuk dan salur keluar tunggal di dasar ekor yang berhubung dengan salur usus, kencing dan kelamin sekali gus. Dalam kloaka bertempatlah zakar jantan dan klitoris betina.[8] Zakar buaya tegak kekal dan bergantung pada otot kloaka untuk membokong, dan ligamen elastik dan tendon untuk menyentak.[9] Testis atau ovari terletak hampir dengan ginjal.[10]

Mata, telinga dan liang hidung buaya terletak di atas kepala. Ini membolehkan buaya untuk menghendap mangsa dengan kebanyakan air di bawah permukaan air.[11] Buaya mempunyai tapetum lucidum yang memudahkan penglihatan dalam cahaya malap. Penglihatan jelas di udara tetapi banyak merosot di dalam air.[12] Fovea vertebrat lain biasanya berbentuk bulat tetapi bagi buaya pula ia berbentuk garisan mendatar yang padat dengan reseptor yang merentasi bahagian tengah retina. Apabila buaya tenggelam sepenuhnya, matanya dilitupi oleh membran kelipan (nictitating membrane). Selain itu, kelenjar pada membran kelipan merembeskan bahan pelincir bergaram yang menjaga kebersihan mata. Apabila buaya keluar dari air dan mengering, bahan ini kelihatan seperti "air mata".

Telinga buaya tersesuai untuk pendengaran dalam udara dan air. Gegendang telinganya dilindungi oleh kelepak yang bole ditutup buka oleh otot.[13] Buaya mempunyai julat pendengaran yang luas dengan kepekaan yang setanding dengan kebanyakan burung dan mamalia.[14] Buaya ada satu kebuk pembauan sahaja, malah yang dewasa pula tiada organ vomeronasal,[15] menunjukkan semua persepsi pembauan terhad kepada sistem pembauan. Eksperimen kelakuan dan olfaktometer (ukuran bau) menunjukkan bahawa buaya mengesan bahan kimia bawaan udara dan larutan air serta menggunakan sistem pembauan untuk memburu. Apabila di atas air, buaya meningkatan kebolehannya untuk mengesan bahan pembau mudah meruap dengan "mengepam kerongkong" (gular pumping), iaitu pergerakan beritma pada dasar farinks.[16][17] Saraf trigeminal yang cukup matang membolehkan buaya untuk mengesan getaran dalam air (seperti yang dibuat oleh mangsa potensi).[18] Lidahnya tidak dapat bergerak dengan bebas tetapi dipegan oleh membran yang berlipat. Sungguhpun agak kecil otaknya, buaya mampu belajar lebih pantas daripada reptilia lain.[19] Biarpun tiada lipatan vokal seperti mamalia mahupun sirinks burung,[20] buaya dapat bersuara dengan menggetarkan tiga helai kelepak di dalam larinksnya.[21]

Gerak alih

Buaya Nil berenang. Turutan dari kanan ke kiri.

Buaya tangkas sekali berenang. Sewaktu bergerak dalam air, ekornya beralun dari sebelah ke sebelah untuk memacu buaya dalam air sementara kaki dirapatkan dengan badan untuk mengurangkan seretan.[22] Apabila buaya perlu berhenti, berkemudi, atau berubah arah, kakinya kembang. Buaya umumnya berenang perlahan di permukaan mahupun dasar air dengan menggerakkan ekor secara gemalai dan meliuk-liuk, tetapi apabila dikejar atau mengejar mangsa ia boleh bergerak pantas.[23] Buaya kurang tersesuai untuk berjalan di atas daratan, malah berada di luar kebiasaan vertebrat dengan mempunyai dua kaedah pergerakan atas darat, iaitu berjalan tinggi (mengangkat badan) dan berjalan rendah (menurunkan badan). Sendi buku lalinya berlentur tegang lain daripada reptilia lain, tetapi serupa dengan sesetengah archosaur purba. Salah sebatang tulang dari baris atas iaitu astragalus, bergerak bersama tibia dan fibula. Yang satu lagi iaitu calcaneum secara fungsinya menganggotai kaki dan mempunyai soket untuk dipasang oleh pepaku dari astragalus. Hasilnya, paha boleh ditegakkan di bawah badan apabila di daraat, dan kakinya dapat berputar ketika berjalan dengan pergerakan buku lali berpusing.[24]

Buaya seperti aligator Amerika ini dapat "berjalan angkat badan" dengan paha tegak, tidak seperti reptilia lain.

Jalan tinggi buaya dengan mengangkat perut dan pangkal ekor dari tanah, adalah unik dalam kalangan reptilia yang wujud. Seakan-akan jalan kaki mamalia dengan turutan jalan kaki yang sama: kiri depan, kanan belakang, kanan depan, kiri belakang. Jalan rendah pula serupa dengan jalan tinggi tetapi tanpa mengangkat badan, malah agak berbeza dengan jalan terbongkong salamander dan biawak. Buaya boleh bertukar ragam jalannya dengan sekelip mata tetapi jalan tinggilah kebiasaannya ketika di darat. Buaya boleh terus mengangkat badan dan berjalan tinggi dengan segera, membuat selangkah dua jalan rendah sebelum menaikkan badan. Tidak seperti vertebrat daratan yang lain, apabila meningkatkan rentak jalan buaya meningkatkan kelajuan ayunan ke depan setiap betis kaki; dengan cara ini, panjang langkah makin meningkat sementara tempoh makin singkat.[25]

Biarpun lazimnya perlahan di atas daratan, buaya dapat memecut sekejap. Ada yang boleh berlari sepantas 12 hingga 14 km/h (7.5 hingga 8.7 mph) untuk jarak dekat.[26] Kemasukan pantas ke dalam air dari tebing berlumpur dapat dilakukan dengan terjun ke dalam tanah, berbelok-belok dari sisi ke sisi dan mengembangkan kaki. Dalam beberapa spesies kecil seperti buaya air tawar, gaya jalan berlari boleh beransur meningkat jadi derapan melonjak. Untuk ini, kaki belakang melancarkan badan kemudian kaki depan menanggung berat. Seterusnya, kaki belakang mengayun ke depan sementara tulang belakang berlentur tegang ke depan dan belakang, dan urutan pergerakan ini berulang-ulang.[27] Sewaktu bergerak di atas darat, buaya dapat meluruskan belakang dan ekor kerana sisiknya melekap pada vertebra dengan otot. Baik di darat mahupun di air, buaya dapat melompat dengan menekankan ekor dan kaki belakang ke atas substrat (dasar) dan kemudian melancarkan diri ke dalam udara.[28]

Rahang dan gigi

Tengkorak aligator Amerika.Tengkorak buaya Nil (Crocodylus niloticus) berbanding tengkorak manusia.

Bentuk muncung buaya berbeza antara spesies. Suku buaya sejati mempunyai muncung yang lebar mahupun runcing, sedangkan suku aligator rata-rata bermuncung lebar. Gharial mempunyai muncung yang teramat panjang. Otot yang menutup rahang jauh lebih besar dan berkuasa daripada yang membuka, malah rahang buaya boleh ditahan tutup oleh orang dengan cukup senang, tetapi teramat sukar untuk dipaksa buka.[29] Otot penutup yang kuat melekap di bahagian median rahang bawah sementara engsel rahang melekap pada sendi atlantooksiput, membolehkan buaya untuk membuka mulut luas-luas.

Buaya mempunyai daya cakupan (gigitan) yang terkuat di seluruh alam haiwan. Dalam kajian terbitan 2003, daya cakupan aligator Amerika berukuran sebanyak 2,125 lbf (9,450 N).[30] Dalam kajian 2012, daya cakupan buaya katak pula jauh lebih tinggi ukurannya pada 3,700 lbf (16,000 N). Kajian ini juga mendapati tiada korelasi antara daya cakupan dan bentuk muncung. Apapun, rahang jelujung yang terlalu runcing agak lemah dan lebih tersesuai untuk menutup rahang dengan pantas. Daya cakupan Deinosuchus mungkin berukuran 23,000 lbf (100,000 N),[31] jauh lebih hebat daripada dinosaur berkaki dua seperti Tyrannosaurus.

Gigi buaya ada yang tumpul dan ada yang tajam hingga bak jarum. Spesies muncung lebar mempunyai gigi pelbagai saiz, sementara yang bermuncung runcing rata-rata sama bentuk sahaja giginya. Gigi buaya sejati dan jelujung selalunya lebih ketara daripada gigi aligator apabila rahang tutup.[32] Cara yang paling senang untuk membezakan buaya sejati dan aligator ialah memperhatikan garis rahangnya. Gigi pada rahang bawah aligator muat ke dalam soket rahang atas, jadi hanya gigi atas yang kelihatan apabila mulut tutup. Buaya sejati pula gigi bawah muat ke dalam alur di luar rahang atas, jadi kedua-dua gigi atas dan bawah kelihatan apabila mulut tutup.[33]

Buaya dapat menggantikan setiap satu daripada kira-kira 80 batang giginya sebanyak 50 kali dalam jangka hayat 35 hingga 75 tahun.[34] Buayalah satu-satunya vertebrat bukan mamalia yang mempunyai soket gigi.[35] Di sebelah setiap gigi yang tumbuh matang terdapat sebatang gigi ganti kecil dan sel tunjang odontogenik (pengembang gigi) yang sedia menunggu untuk dihidupkan apabila perlu.[36] Makin tua si buaya, makin perlahanlah pergantian gigi sehingga akhirnya berhenti.

Kulit dan sisik

Kulit buaya Nil muda

Kulit buaya tebal berkematu, dilitupi oleh sisik yang tidak bertindih-tindih yang dipanggil "skut", tersusun dalam baris-baris dan corak yang nalar. Sisik ini dihasilkan secara berterusan oleh pembahagian sel di dalam lapisan bawah epidermis, iaitu stratum germinativum, dan permukaan skut sebutir demi sebutir bersalin dari masa ke semasa. Permukaan luar skut terdiri daripada beta-keratin yang agak tegar sementara bahagian pelekat antara skut-skut hanya mengandungi alpha-keratin yang lebih lentur.[37]

Kebanyakan skut diperkuat oleh plat-plat bertulang yang dipanggil osteoderma, yang sama saiz dan bentuk dengan sisik-sisik luar tetapi tumbuh di bawah sisik. Skut paling banyak tumbuh di belakang dan leher buaya dan boleh menjadi perisai perlindungan. Skut selalunya mempunyai rabung-rabung yang menonjol dan berketul-ketul, dilitupi dengan beta-keratin tahan lasak. Kebanyakan kulit kepala terlakur pada tengkorak.[38] Kulit leher dan rusuknya longgar sementara kulit perut dan bahagian bawah ekor bersarungkan skut-skut berbentuk petak yang besar dan rata, tersusun dalam baris yang kemas-kemas.[39] Skut mengandungi salur darah dan boleh bertindak untuk menyerap atau memancarkan haba ketika mengawal suhu badan. Kajian juga mendapati bahawa ion-ion alkali yang terlepas ke dalam darah daripada kalsium dan magnesium dalam tulang ini bertindak sebagai penimbal sewaktu menyelam lama-lama, apabila peningkatan tahap karbon dioksida dapat menyebabkan kandungan asid berlebihan.[40]

Sesetengah skut mengandungi liang tunggal yang dipanggil "organ deria integumen". Buaya sejati dan gharial mempunyai anggota ini di hampir seluruh badan sementara bagi suku aligator hanya terdapat di kepala. Fungsi sebenarnya tidak difahami sepenuhnya, tetapi dihujahkan bahawa ia merupakan organ deria pergerakan.[41] Mungkin juga bahawa organ ini boleh menghasilkan rembesan berminyak yang mencegah lekapan lumpur pada kulit. Terdapat kelenjar integumen berpasangan yang ketara pada lipatan kulit pada kerongkong dan juga dinding sisi kloaka. Pernah dihujahkan pelbagai fungsinya. Ia mungkin memainkan peranan dalam komunikasi kerana bukti tak langsung menunjukkan bahawa ia mengeluarkan feromon yang digunakan untuk mengawan dan membuat sarang. Kulit buaya keras sekali dan dapat menahan kerosakan daripada buaya lain, malah sistem imunnya cukup berkesan untuk menyembuhkan luka dalam beberapa hari.[42]

Peredaran

Barangkali bahawa buaya mempunyai sistem peredaran yang paling kompleks bagi mana-mana verterbrat. Jantungnya berkebuk empat dengan dua ventrikel, sifat yang luar biasa sekali bagi semua reptilia yang hidup.[43] Juga terdapat aorta kiri dan kanan yang tersambung dengan lubang "foramen Panizza". Seperti burung dan mamalia, buaya mempunyai injap jantung yang mengaruhkan darah ke dalam satu arah melalui kebuk-kebuk jantung. Juga terdapat injap seakan gerigi kog yang unik yang apabila saling berkunci mengaruhkan darah ke dalam aorta kiri dan jauh dari paru-paru, dan kemudian kembali mengitari badan.[44] Sistem ini mungkin membolehkan buaya untuk menyelam lama-lama,[45] tetapi penjelasan ini telah dipertikaikan.[46] Lain-lain sebab yang berkemungkinan bagi sistem peredaran unik ini termasuk bantuan dengan keperluan mengawal suhu, mencegah sembap paru-paru, ataupun cepat sembuh dari asidosis metabolik. Menyimpan karbon dioksida dalam badan membolehkan peningkatan kadar rembesan asid gastrik dan ole itu kecekapan pencernaan, malah organ-organ gastrousus lain seperti pankreas, simpa, usus kecil, dan hati juga berfungsi dengan lebih cekap.[47]

Apabila menyelam, jantung buaya memperlahan hingga satu dua denyutan seminit, manakala aliran darah ke dalam otot dikurangkan. Apabila buaya naik untuk bernafas, kadar jantungnya naik mendadak dalam beberapa saat, sementara otot menerima darah teroksigen baharu.[48] Tidak seperti kebannyakan mamalia laut, buaya mempunyai sedikit mioglobin untuk menyimpan oksigen di dalam otot. Ketika menyelam, otot dibekali dengan oksigen apabila tumpuan ion bikarbonat yang meningkat menyebabkan hemoglobin dalam darah melepaskan oksigen.[49]

Pernafasan

Pada asalnya buaya disangka bernafas seperti mamalia dengan aliran udara keluar masuk seperti pasang surut, tetapi kajian yang disiarkan pada 2010 dan 2013 menyimpulkan bahawa buaya bernafas lebih seakan burung dengan aliran udara bergerak dalam pusingan satu arah di dalam paru-paru. Apabila buaya menyedut, udara mengalir melalui trakea ke dalam dua bronkus (jalan udara) primer yang bercabang ke dalam laluan sekunder yang lebih sempit. Udara terus bergerak melalui semua ini, kemudian ke dalam jalan udara yang makin sempit, dan kemudian ke dalam jalan udara sekunder yang dilangkau dahulu. Kemudian udara itu beralir kembali ke dalam salur udara primer dan dihembuskan. Injap-injap aerodinamik dalam pepohon bronkus ini telah dihipotesiskan untuk menjelaskan bagaimana buaya boleh mempunyai aliran udara satu arah tanpa bantuan pundi udara seakan burung.[50][51]

Paru-paru buaya melekap pada hati dan pelvis dengan "otot diafragmatikus" (yang sama fungsinya dengan diafragma mamalia). Ketika menyedut, otot-otot interkostal luar mengembangkan tulang rusuk, membolehkan buaya untuk menyedut lebih udara, sementara otot iskiopubis menyebabkan pinggul berayun ke bawah serta menolak perut ke luar, dan diaphragmaticus menarik hati ke belakang. Apabila menghembus, otot-otot interkostal dalam menolak tulang rusuk ke dalam, sementara rektus abdominis menarik pinggul dan hati ke hadpaan dan perut ke dalam.[52][53] Oleh sebab paru-paru berkembang ke dalam ruang yang dahulu diisi oleh hati bahkan termampat apabila bergerak kembali ke posisi asal, pergerakan ini kadangkala digelar "hepatic piston" (omboh hati). Buaya boleh juga menggunakan otot-otot ini untuk melaraskan kedudukan paru-paru; dan oleh itu mengawal keapungan dalam air. Buaya tenggelam apabila paru-parunya tertarik ke arah ekor; buaya timbul apabila paru-paru bergerak kembali ke arah kepala. Ini membolehkan buaya untuk bergerak melalui air tanpa membuat gangguan yang boleh menjagakan mangsa. Selain itu, buaya boleh juga berputar dan berpusing dengan menggerakan paru-paru ke sisi.[54]

Buaya yang berenang dan menyelam kelihatan bergantung pada isipadu paru-paru lebih untuk berapung daripada menyimpan oksigen. Sejurus sebelum menyelam, buaya mengembus untuk mengurangkan isipadu paru-paru dan mencapai keapungan negatif.[55] Sekali tenggelam, liang hidungnya tutup rapat. Semua spesies mempunyai injap lelangit, iaitu kelepak kulit bermembran di belakang rongga mulut yang menghalang air daripada mengalir ke dalam kerongkong, esofagus, dan trakea. Ini membolehkan buaya untuk membuka mulut di dalam air tanpa lemas. Buaya biasanya kekal dalam air selama 15 minit ke bawah sekali, tetapi ada yang boleh menahan nafas selama dua jam dalam keadaan yang ideal.[56] Kedalaman menyelam maksimumnya tidak dipastikan tetapi buaya mampu menyelam sekurang-kurangnya 20 m (66 ka).[57]

Pencernaan

Gigi buaya tersesuai untuk mencakup dan menggonggong mangsa. Makanan ditelan terus tanpa dikunyah. Saluran pencernaannya agak pendek kerana daging agak senang untuk dihadam. Perutnya ada dua bahagian, iaitu hempedal berotot yang mengisar makanan, dan kebuk pencernaan di mana enzim bertindak.[58] Perut buaya lebih berasid daripada mana-mana perut vertebrat yang lain, bahkan mengandungi rabung-rabung untuk gastrolitos yang memainkan peranan dalam pemecahan makanan secara mekanik. Pencernaan lebih cpeat dalam suhu tinggi. Buaya mempunyai tahap metabolisme yang amat rendah dan oleh itu kurang memerlukan tenaga. Oleh itu buaya dapat hidup berbulan-bulan dengan hanya sekali makan besar-besar, mencerna makanan dengan perlahan-lahan. Buaya dapat bertahan dengan "puasa" berlarutan, bergantung pada lemak simpanan antara masa makan. Anak buaya yang baru menetas pun mampu hidup selama 58 hari tanpa makanan, susut 23% berat badan sepanjang tempoh itu. Buaya dewasa memerlukan dari 1/10 hingga 1/5 daripada jumlah makanam yang perlu bagi singa yang sama berat, malah boleh hidup separuh tahun tanpa makan.[59]

Kawalan suhu

Gharial India tawanan berjemur sambil ternganga

Buaya adalah haiwan ektoterma (berdarah sejuk), menghasilkan haba dalaman yang agak sedikit dan bergantung pada sumber luar untuk menaikkan suhu badan. Haba matahari merupakan kaedah pemanasan utama bagi sebarang buaya, sementara merendam dalam air boleh menaikkan suhunya secara pengaliran haba ataupun menyejukkan buaya dalam cuaca panas. Kaedah utama bagi mengawal suhunya bercirikan kelakuan. Contohnya, buaya di kawasan beriklim sederhana boleh memulakan harinya dengan berjemur di bawah matahari di atas darat. Buaya yang besar dan tebal memanaskan badan dengan perlahan tetapi pada lewat siang ia bergerak ke dalam air dan masih mendedahkan belakangnya kepada matahari. Pada waktu malam buaya kekal menyelam dan suhunya beransur-ansur menurun. Tempoh berjemur lebih panjang pada musim sejuk dan lebih singkat pada musim panas.

Bagi buaya di tropika, isu utama ialah mengelakkan pemanasan berlebihan. Buaya boleh berjemur sejenak pada waktu pagi tetapi kemudian bergerak ke dalam teduhan dan kekal berteduh sampai malam, ataupun menyelam dalam air untuk kekal nyaman. Mulut ternganga boleh menyejukkan badan menerusi penyejatan dari lapis mulut.[60] Dengan cara-cara inilah julat suhu buaya dikekalkan antara 25 dan 35 °C (77 dan 95 °F), dan kekal terutamnya dalam julat 30 hingga 33 °C (86 hingga 91 °F).[61]

Taburan aligator Amerika dan aligator Cina menjangkau kawasan-kawasan yang kadang-kadang mengalami tempoh fros pada musim sejuk. Sebagai haiwan ejtoterma, suhu dalam badan buaya jatuh apabila suhu menurun, maka buaya itu menjadi lembab. Secergas mana pun pada musim panas, buaya lazimnya langsung tidak makan pada musim sejuk. Dalam cuaca sejuk, buaya itu kekal menyelam dengan ekor masuk air yang lebih dalam dan kurang sejuk, dan liang hidungnya timbul di permukaan. Jika ais terbentuk, buaya menjaga liang pernafasan bebas ais, malah ada kalanya muncung buaya beku dalam ais. Alat prob mengesan suhu yang terpasang dalam aligator Amerika liar mendapati bahawa suhu badan terasnya boleh jatuh kepada sekitar 5 °C (41 °F), tetapi selagi buaya itu dapat bernafas maka tiadanya kesan mudarat apabila cuaca memanas.

Kawalan osmosis

Buaya katak berehat di pantai

Tiada satu pun spesies buaya yang boleh dikira haiwan laut; sungguhpun buaya katak dan buaya Amerika dapat berenang jauh ke laut, namun habitat normalnya ialah mulut sungai, muara, hutan paya bakau, dan tasik hipersalinus, tetapi ada beberapa spesies pupus yang berhabitatkan laut, termasuklah "Gavialis" papuensis yang pupus baru-baru ini, yang pernah wujud di habitat lautan sepenuhnya di pesisir Kepulauan Solomon.[62] Semua buaya perlu mengekalkan kepekatan garam dalam bendalir badan pada tahap yang sesuai. Pengosmokawalaturan (osmoregulation) berkenaan dengan jumlah garam dan air yang ditukarkan dengan persekitaran. Pengambilan air dan garam berlaku di sepanjang lapis mulut, apabila air diminum, baik secara kebetulan sewaktu makan, mahupun air yang hadir dalam makanan.[63] Air hilang dari badan ketika bernafas, malah garam dan air sekali gus tersingkir dalam kencing dan tinja, melalui kulit, dan melalui kelenjar kumuh garam pada lidah (yang hadir pada buaya sejati dan jelujung).[64][65] Kulitnya merupakan penebat yang cukup berkesan kepada air mahupun ion. Mulut ternganga menyebabkan penyingkiran air secara penyejatan daripada lapis mulut, malah di daratan, air juga tersingkir melalui kulit. Buaya besar lebih mampu mengekalkan homeostasis ketika tekanan osmotik daripada yang kecil. Anak buaya yang baru menetas jauh kurang menahan keterdedahan kepada air garam daripada anak-anak yang lebih tua, mungkin kerana lebih tinggi nisbah luas permukaan ke isipadu.

Sistem kinjal dan perkumuhannya lebih kurang sama dengan reptilia lain, tetapi buaya tiada pundi kencing. Dalam air tawar, keosmolalan (kepekatan zat terlarut yang menyumbang kepada tekanan osmotik larutan) dalam plasma lebih tinggi berbanding air sekeliling. Buaya sudah cukup hidrasi, air kencing dalam kloaka banyak dan cair, nitrogen dikumuhkan sebagai amonium bikarbonat.[66] Penyingkiran natrium rendah dan banyak berlaku di seluruh kulit dalam keadaan air tawar. Bertentangan pula air masin, di mana keosmolalan dalam plasma rendah daripada air sekeliling, menyebabkan nyahhidrasi. Kencing kloaka lebih pekat, putih dan legap, dengan bahan buangan bernitrogen rata-rata dikumuhkan sebagai asid urik yang tidak terlarut.

Rujukan

WikiPedia: Buaya http://www.newholland.com.au/products/docs/9781741... http://www.publish.csiro.au/pid/7185.htm http://espace.library.uq.edu.au/eserv.php?pid=UQ:9... http://www.abc.net.au/science/articles/2012/04/25/... http://www.american-alligator.com/Crocodiles-and-A... http://www.britannica.com/EBchecked/topic/289723/i... http://www.crocodilian.com/ http://www.edjameson.com/Endangered%20Animals/page... http://articles.timesofindia.indiatimes.com/2013-0... http://news.nationalgeographic.com/news/2002/06/06...